January 23, 2009

Khmer Trail

Cambodia, atau nama Melayunya Kemboja, merupakan sebuah negara yang sering dikaitkan dengan peperangan, terutamanya zaman Khmer Rouge yang bermula pada tahun 1975, yang menyaksikan negara ini berada dalam cengkaman komunis Khmer Rouge di bawah Pol Pot. Semasa pemerintahan Khmer Rouge, lebih tiga juta penduduk Cambodia dikatakan telah dibunuh secara kejam oleh Pol Pot dan pengikutnya. Ini termasuklah wanita serta kanak-kanak yang dibunuh secara kejam. Bukti kekejaman ini masih terpampang hari ini di Tuol Sleng, iaitu sebuah muzium yang pernah menyaksikan ribuan rakyat diseksa sebelum dibawah untuk dibunuh di kawasan yang kini dikenali sebagai 'Killing Fields.'
Walaupun sejarahnya boleh dianggap sebagai satu sejarah berdarah atau satu tragedi kemanusiaan, namun Cambodia pada hari ini sudah bangkit untuk melupakan titik-titik hitam dalam sejarahnya. Setelah berhadapan dengan pelbagai konflik dan peperangan semenjak zaman keagungan Empayar Khmer sekitar kurun kesembilan masihi, mereka kini semakin memandang ke hadapan untuk membina semula negara mereka. Bukti-buktinya sudah mula kelihatan di sekitar bandaraya-bandaraya utama seperti Phnom Penh, Siem Reap, Sihanoukville dan sebagainya di mana pembangunan sudah semakin galak.

Sebagaimana dengan Vietnam, kemajuan yang dicapai Cambodia boleh dianggap sebagai baru kerana semua ini hanya berlaku dalam tempoh dua tiga tahun lalu. Suasana jalanraya yang semakin sesak dengan kenderaan-kenderaan baru nyata membuktikan bahawa taraf ekonomi mereka sudah semakin meningkat, walaupun pada hakikatnya, jurang perbezaan antara yang kaya dan miskin cukup besar sekali.

Namun, tidak dinafikan bahawa kekejaman dan penderitaan yang pernah mereka hadapi masih lagi menghantui minda kebanyakkan mereka. Dan persoalan yang sering bermain dalam minda mereka adalah persoalan mengapa mereka yang menjadi dalang pembunuhan beramai-ramai dalam era Khmer Rouge dulu masih lagi bebas dan tidak dikenakan sebarang tindakan oleh PBB. Tindakan kerajaan Cambodia mengambil tindakan terhadap Kang Keck Ieu (atau Duch) kerana peranan yang dimainkannya nyata tidak meredakan kemarahan memandangkan dalang utamanya, Pol Pot, berjaya melarikan diri dari dikenakan tindakan kerana kematiannya.

1 comment:

  1. Wah, "orang muda" ni sudah berblog pula...

    Bro Jeff jalan-jalan ke Cambodia ye...

    ReplyDelete